-->

Tuesday, December 10, 2019

Perjalanan terakhir bonda tercinta


Assalamualaikum


11.10am, 21 November 2019

Bonda tercinta akhirnya pergi menghadap pencipta yang abadi. Sekali lagi malaikat Izrail datang menziarah kami sekeluarga. Bonda pergi di hadap lapan orang anak dan menantunya. Adik bonda dan adik arwah ayah juga ada. Ramai yang menyaksikan permergian bonda. Allah. Berat rasanya.

Pengalaman menguruskan arwah ayah setahun yang lalu, membuatkan kami adik beradik tahu di mana tugas masing-masing. Ada yang ke masjid, ke tanah kubur, urusan hospital, urusan jenazah dan sebagainya. Masing-masing lakukan tugas tanpa perlu di suruh. Dan aku, haritu aku menghabiskan setiap detik terakhir bersama jasad kaku bonda. Kak ngah ada bersama aku di sisi bonda kami. Sementara menunggu urusan hospital selesai, aku masih di sisi bonda sambil membacakan yassin berulang kali. Ketika di bawa ke unit forensik, aku juga berpeluang mengangkat jenazah bonda untuk di letakkan di atas trolli keranda. 

Selepas solat zohor selesai, jenazah bonda di bawa keluar dari unit forensik HKL menuju ke masjid Kampung Bharu untuk di mandikan, di kafankan dan di solatkan. Kali kedua juga dalam hidup, aku berpeluang memandikan jenazah bonda untuk kali yang terakhir. Ketika arwah ayahanda juga kami berpeluang berbakti hingga ke akhirnya. Selesai bonda di kafankan, aku lihat jasad kaku bonda tersenyum. Subhanallah. Cantik berseri wajah bonda. Hidung bonda juga kelihatan mancung dengan adanya tulang hidung yang tinggi. Kulit wajah bonda juga bersih. Kesan lebam dan tanda-tanda tebukan tiub dialisis bonda juga hilang. Allah, besar kuasamu. Itulah hikmahnya Allah gantikan 7 tahun derita kesakitan bonda dengan pengakhiran yang sangat indah. Tak puas kami tatap wajah indah bonda kami. 

Selepas solat Asar, jenazah bonda di sembahyangkan. Satu lagi keindahan tercipta, ketika jenazah bonda di bawa untuk di sembahyangkan, berebut-rebut para jemaah ingin mengusung keranda bonda. Hinggakan kami terpaksa memberi peluang pada jemaah yang lain. Keranda bonda bersilih ganti pengusungnya. Jemaah yang solatkan jenazah bonda juga ramai. ALLAH 


Selepas solat, jenazah bonda terus di bawa ke Tanah perkuburan Jalan Ampang. Itulah perjalanan akhir bonda di dunia nie. Alhamdulillah, liang telah di gali. Sekali lagi kebesaran Allah, rumah sementara bonda di alam bazarkh berhampiran dengan rumah sementara arwah ayah. Kami kotakan seperti yang bonda pinta. Hampir dengan arwah ayahanda. Selang 2 makam sahaja. Allah, rezeki bonda kami. 

Alhamdulillah, segala urusan bonda Allah permudahkan. Segalanya berjalan dengan lancar. Hinggalah saat terakhir kami melihat wajah bonda kami sebelum ditutup dengan tanah, wajah bonda masih tersenyum. Allahuakbar !!!


Begitulah pengakhiran seorang yang bernama ibu. Setiap kenangan akan terpahat dalam memori anak-anak.

Selamat tinggal wahai bondaku
Semoga suatu masa nanti Allah pertemukan kita kembali

Rehatlah dengan tenang wahai bonda
Kami sayangkanmu dunia dan akhirat ♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡♡ dari 11 nyawa yang keluar dari rahimmu.


Al fatihah

Abidah binti Arshad
18 Nov 1948 - 21 November 2019

www.tips-fb.com

2 comments:

  1. Sedihnya Ya Allah tak mampu nak bayangkan.. Saya pun baru kehilangan arwah nenek 1 Mei lepas.. Dapat menyaksikan seksanya ibu saya berdepan situasi cam ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. @Nur Faten Farhana ~ insyaAllah kuat. Apa yg kita ade hanya pinjaman

      Delete

Ala... janganlah pandang jer keyboard yang mahal tu.. meh komen-komen kat blog nie!!!